"Untuk melawati badai, kita harus terus berjalan bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan ada dua hal yang terus kita bawa, iaitu KEYAKINAN & CINTA"

Epilog Seorang Hamba. Kehidupan ini memerlukan pengorbanan, waluapun pahit tetapi manisnya akan muncul di hadapan dan abadi di syurga.

Berbicara soal hati, hati memang sukar ditafsiri dan di jangka. Makanya, selalulah berbicara dengan hati bersama Pencipta, ALLAH SWT.


Sunday, February 10, 2013

JIWA HAMBA




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.  Alhamdulillah,  segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga serta sahabat-sahabat baginda.

Di akhir-akhir surat Al-Furqan, Allah menerangkan tentang ciri-ciri ibadurrahman. Ibadurrahman yang dimaksudkan adalah hamba Allah yang Maha Pengasih. Seorang hamba yang mana dikasihi Allah dan sentiasa berada di bawah naungan rahmat-Nya. Itulaj Jiwa hamab yang kita impikan. Kata-kata hikmah mengatakan bahawa “Insan yang berjiwa hamba perlu mempunyai dua mata di wajahnya untuk memandang seluruh urusan dunianya dan juga perlu mempunyai lebih dari dua mata di hati agar cukup untuk melihat seluruh perkara akhiratnya”. Insan yang berjiwa hamba perlulah mempunyai mata hati yang mampu membawa dirinya kepada “Tuan” iaitu Allah s.w.t. Gunakanlah sepenuh iman di hati sanubari insan dalam melangkah meraih jiwa hamba yang hakiki. Marilah kita bersama-sama menjadi insan, hamba-NYA yang tawadhuk dan tergolong dalam orang-orang yang beriman yang menjadi penghuni Syurga.

Cintailah Allah dan Rasul dengan sepenuh hati, ikutilah Islam sebagai agama ad-din yang menyuluh kehidupan insan. Yakinlah dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah kerana di situlah kunci kebahagian jiwa hamba. Allah s.w.t  menjanjikan syurga buat insan yang bertaqwa sebagai kehidupan yang hakiki. Mengapa kita perlu mengingkari dan meragui NYA? Allah s.w.t yang menciptakan kita dan sekalian mahkluk, oleh itu mengapa kita mahu menyombong diri dan betapa angkuhnya kita kepada al-Khaliq. Hidup di dunia ini hanya sementara, kita bukan mengejar kenikmatan duniawi sahaja, namun mencari bekalan yang ingin dibawa ke dunia yang hakiki iaitu dunia ukhrawi. Setiap helah nafas ini ada milik-NYA. Bersyukurlah duhai insan atas segala nikmat yang dikecapi yang tiada nilai bandingnya kerana Allah s.w.t  itu ar-Rahman dan ar-Rahim. Walaupun setinggi mana dosa kesalahan hamba-NYA, Allah s.w.t  akan mengampunkannya. Sesungguhnya Allah s.w.t sangat menyukai hamba-hamba NYA yang bertaubat dan insaf atas segala kesalahan yang mereka lakukan. Memohonlah ampun daripada-NYA kerana Dia Maha Penerima Taubat.

Bagaimana kita ingin meraih jiwa hamba ini? Bagaimanakah cara untuk kita menjadi hamba yang mukmin di sisi-NYA? Pelbagai persoalan yang bermain dalam fikiran seorang insan. Sesungguhnya manusia itu diciptakan lebih cenderung kepada kebaikan. Setiap Muslim mengimpinkan Syurga sebagai rumah yang hakiki dan memiliki hati yang berjiwa nuraini seperti Para Sahabat dan Para ulama’ terdahulu. Namun, kadang-kadang kita tewas dalam pemburuan kita. Kenikmatan dunia terlalu menguji iman seseorang hamba sehinggakan kadang-kadang terleka dan hayut dalam fantasi duniawi. Apabila hati kurang pengisian rohani, iman semakin surut dan nafsu menjadi raja mengawal diri. “ Cepat!”, kita masih mempunyai peluang untuk “u-turn” membaiki diri dan jiwa. Allah s.w.t sentiasa membuka ruang untuk hamba-NYA.

Ya, memiliki jiwa hamba tidak semudah membancuh secawan kopi.  Namun, ia boleh menjadi senang andai diri selalu di “charge” kan dengan tarbiyyah rohaniah. Kita memerlukan kekuatan iman di hati, ketabahan, kesabaran dan mujahidah dalam misi mencari dan memiliki jiwa hamba hakiki.
 Tugas pertama insan ialah mentauhidkan Allah s.w.t  sepenuh jiwa raga kita. Menyakini bahawa tiada Tuhan selain ALLAH s.w.t yang layak disembah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh-NYA. Inilah kunci pembukaan jiwa hamba dalam melayari bahtera kehidupan ini. Pasakanlah kalimah "لا إله إلا الله و محمد رسول الله" di dalam jiwamu. Gunakanlah kebijaksanaan akal fikiran itu dengan berpandukan iman dan Islam. Percayalah, dalam memburu jiwa hamba pasti akan diuji dengan pelbagai mehnah, namun nikmatnya sangat manis setelah kita memilikinya. Bersabarlah dalam meraih kemenangan jiwa hamba ini dan bermujahadah untuk bangkit meraih cinta dan redha Sang Pencipta, Allah Azza Wajalla.

Hamba yang memburu cinta Allah akan sentiasa berusaha dengan mencari ilmu mengenai Kekasihnya. “Tak kenal maka tak cinta”, oleh itu sebagai hamba NYA kita perlulah mempelajari ilimu yang berkaitan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. Dengan ilmu tersebut, kita dapat mengenali dengan lebih dekat dan membentuk jiwa peribadi hamba yang mukmin. Tanpa ilmu, mana mungkin kita mampu melakukan amalan-amalan dan melaksanakan apa yang dikehendaki NYA. Ilmu mengenal Allah perlu dipelajari bagi setiap insan dalam pelayaran di ats dunia  ini. Ahli hikmah mengatakan, “ tidak sempurna ibadah kecuali dengan menuntut ilmu, jika amal tanpa ilmu, amalan tidak dikira,dengan ilmu kita beramal dalam setiap ibadah.” Tanpa ilmu yang benar, kita mudah tersasar jauh dan tanpa menghayati serta memahami ilmu, kita juga tidak mampu membentuk jiwa dan iman ini. Di dalam Kitab Hidayatul Sibyan fi Ma’rifatul Islam wa Iman (هداية الصبيان في معرفة الإسلام والإيمان)   ada menerangkan bahawa      "من عرف نفسه، عرف ربه" yang bermaksud “sesiapa yang mengenali dirinya, maka dia mengenal tuhannya”. Al-Quran adalah kitab yang paling uatama untuk kita mempelajarinya. Bukan sekadar membaca, namun memahami isi dan mengamalkannya. Firman Allah yang bermaksud, “ Padahal Al-Quran itu tidak lain adalah peringatan bagi seluruh alam”(69:52). Takala Al-Quran dekat di hati, Allah selalu dingati, jiwa menjadi tenang dan iman tidak mati. Jadikan Al-Quran sebagai “dusturina” . Teguhlah dalam berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah sehingga ke akhir hayat kita. “Sesungguhnya, orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementar hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.” (Surah al-Anfaal, ayat 2).
Bersyukurlah duhai insan atas segala nikmay yang dikecapi, dan berasa cukuplah dengan apa yang dimiliki. Yang tiada usah kita merungut, namun yang ada dimiliki ini bersyukurlah dan hargai dengan menggunakan segala nikmat Allah di jalan yang lurus. Reda atas segala ketentuan-NYA, namun tidak bererti kita hanya berserah tanpa kita usaha. Berusaha menjadi yang terbaik, dan berusaha mencapai segala yang dihajati. Akhir usaha barulah kita bertawakal mengharapkan hasilnya. Andai tidak dapat, usah berputus asa. Hamba yang mukmin tidak akan pernah berputus asa dan berharap kepada NYA. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Hajj ayat ke-78 yang beerti “ Dan berpegang teguhlah kepada Allah, Dial ah Pelindungmu, Dial ah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong”

Aktifkan “suis” keikhlasan atas segala perbuatan kita serta sertainya dengan niat yang baik. Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat. Memperbaharui niat pada setiap detik perbuatan kita menjadikan kita hamba yang berwawasan. Hidup ini memerlukan pengorbananan dan pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahandan ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan. Ayuh, duhai diri dan insan-insan sekalian untuk kita bangkit dan membina peribadi jiwa hamba yang mukmin. Bermuhasabah untuk menghidupkan hati yang mati dan muhasabah diri itu mengejutkan kita dari alpa. "Sesungguhnya mereka tidak buta mata tapi yang buta itu adalah mata hati yang ada dalam dada" Surah Al-Hajj (22:46).
Jiwa hamba didambakan, agar selalu disayangi Allah s.w.t. In syaa Allah.

“ Vitamin yang paling bermanfaat untuk jiwa adalah vitamin shad yang terdiri daripada: saum (puasa), shabr (kesabaran), shidq (kejujuran), silaturahim (memperkuatkan huungan kekerabatan), dan suhbah ash-shalihin (berkawan dengan orang-orang soleh)” Kata-kata dari DR. ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni menarik perhatian untuk dikongsikan bersama, agar sama-sama kita mengambil pedoman.


nukilan: al-faqir filislam, noor amira md akhir.

No comments:

Post a Comment

hamba ALLAH..

My photo
alor setar kedah, islam, Malaysia
i love ALLAH,Rasulullah..i love Islam n i love my family n all myfriends...